PROGRAM CSR BAITI SYAWAL OLEH OBSB 22 MAC 2025

 

 

 

 

   

   

   

Kampung Sungai Jai, Lenggeng, Negeri Sembilan | Sabtu, 22 Mac 2025 Bersamaan 21 Ramadhan 1446H 

Alhamdulillah, Sabtu 22 Mac 2025 bersamaan 21 Ramadan 1446H, satu lagi detik bermakna tercatat dalam perjalanan amal Olin Beauty Sdn. Bhd. (OBSB). Dengan semangat kesukarelawan yang tinggi dan kerjasama erat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Team OBSB turun padang menyantuni insan-insan yang diuji dengan kesusahan hidup. Kali ini, misi kami tertumpu kepada sebuah keluarga di Kampung Sungai Jai, Lenggeng, Negeri Sembilan.

Seawal jam 7.30 pagi, rombongan OBSB yang diketuai oleh CEO, Yang Berbahagia Puan Hajah Nazatul Azlin, bertolak dari kediaman beliau menuju ke rumah Puan Nadia, penerima bantuan yang menjadi tuan rumah kepada program kebajikan kali ini. Setibanya di sana sekitar jam 8.30 pagi, pihak OBSB bersama Angkatan Tentera Malaysia telah berkumpul untuk mendengar taklimat ringkas sebelum memulakan tugas.

Misi yang dijalankan meliputi proses baik pulih kediaman dan pembersihan kawasan rumah Puan Nadia yang telah uzur dan memerlukan perhatian. Suasana penuh semangat bergotong royong menyaksikan semua yang hadir, termasuk sukarelawan dari kedua-dua pihak, mengambil peranan masing-masing dengan cekap dan harmoni.

Tatkala kami melihat sendiri keadaan kediaman dan kesungguhan keluarga ini bertahan dalam serba kekurangan, hati kami amat tersentuh. Di sebalik kehidupan yang serba selesa, ramai yang mungkin tidak sedar wujudnya insan-insan yang berjuang hanya untuk meneruskan hari esok. Kehadiran kami hari itu bukan untuk menunjuk, tetapi untuk berkongsi rasa, rezeki, dan kasih sesama manusia.

Lebih mengharukan, program ini turut mendapat liputan istimewa daripada TV AlHijrah yang hadir ke lokasi untuk membuat rakaman dan temubual. Dalam temubual bersama Puan Hajah Nazatul Azlin dan Puan Nadia, suasana menjadi sayu apabila Puan Nadia tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata syukur atas bantuan yang diterima. Ia bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi juga suntikan harapan dan semangat baru buat keluarganya.

Setelah semua kerja gotong royong selesai, majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Puan Hajah Nazatul Azlin, yang menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama, khususnya pihak Angkatan Tentera Malaysia yang sudi berganding bahu menjayakan misi ini. Sebagai tanda terima kasih, beliau turut menyampaikan sagu hati kepada pihak ATM serta para sukarelawan yang terlibat. Tidak dilupakan juga, sedikit sumbangan disampaikan kepada keluarga Puan Nadia bagi meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

Sebelum pulang, semua yang hadir bersalaman dan berpelukan erat. Satu tanda bahawa misi ini bukan sekadar selesai di lokasi, tetapi telah menyalakan satu semangat baru dalam setiap jiwa yang terlibat.

“Tangan yang memberi takkan pernah kosong... kerana setiap huluran yang ikhlas, akan kembali sebagai keberkatan. Semoga langkah kecil ini membuka seribu pintu rahmat.”