PROGRAM CSR ZIARAH KASIH DI LENGGENG, NEGERI SEMBILAN 7 FEBUARI 2025

 

 

Lenggeng, Negeri Sembilan | Jumaat, 7 Februari 2025

Pada Jumaat, 7 Februari 2025, Olin Beauty Sdn. Bhd. (OBSB) sekali lagi meneruskan agenda kebajikan melalui Program Ziarah Kasih, kali ini diadakan di kawasan Lenggeng, Negeri Sembilan. Program ini diadakan sebagai salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan dan diuji dengan kesulitan hidup.

Program ini melibatkan dua buah keluarga yang memerlukan perhatian. Keluarga pertama terdiri daripada seorang suami yang mengalami masalah slip disk kronik sehingga tidak dapat bekerja seperti biasa. Demi kelangsungan hidup, keluarga ini hanya bergantung kepada hasil jualan santan di kampung sebagai punca pendapatan. Keluarga kedua pula diuji dengan anak istimewa yang lumpuh sepenuhnya dan hanya mampu terbaring, sementara ibunya memberikan sepenuh perhatian untuk menjaganya.

OBSB hadir dengan sumbangan barangan JRM Holistik untuk kegunaan kesihatan, serta sedikit sumbangan kewangan bagi meringankan beban mereka. Produk JRM seperti minyak terapi turut digunakan oleh staf OBSB untuk memberikan urutan ringan kepada anak istimewa tersebut, sebagai salah satu usaha kecil untuk memberi keselesaan dan sokongan kepada keluarga itu.

Tentatif program dimulakan seawal 8.00 pagi, apabila staf OBSB berkumpul di kediaman Puan Hajah Nazatul Azlin, CEO Olin Beauty Sdn. Bhd., sebelum bergerak ke lokasi menaiki satu kenderaan. Tiba di rumah keluarga pertama, pihak OBSB mengambil masa untuk mendengar kisah kehidupan mereka sambil menyampaikan sumbangan. Seterusnya, rombongan bergerak ke rumah keluarga kedua untuk menyampaikan sumbangan dengan penuh keprihatinan dan doa kesejahteraan.

OBSB turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terlibat iaitu, Ross Razeq (Pengerusi Briged Negaraku Negeri Sembilan) dengan menyampaikan saguhati sebagai tanda terima kasih. Program ini berakhir dengan penuh rasa syukur dan keinsafan terhadap ujian kehidupan yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan.

“Setiap langkah keikhlasan adalah doa tanpa suara. Dengan memberi, kita bukan hanya meringankan beban orang lain, tetapi turut menghidupkan cahaya kasih dalam hati kita.”

Posted in: Berita